Umrah

Umrah (ﻋﻤﺮﻩ) ialah mengunjungi Baitullah di Makkah dan melakukan ihram, tawaf, sa’i dan bertahallul mengikut tertib. Umrah adalah fardhu seperti Haji. Ini adalah pendapat al-Imam As-Syafie R.A. Ijmak Ulama mengatakan bahawa hanya wajib dilakukan sekali sepanjang hayat bagi orang yang mampu kecuali orang yang bernazar, maka dia wajib memenuhi nazarnya.

Dalil daripada al-Quran ialah firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah”(Al-Baqarah:196).

Sabda Nabi yang diriwayatkan Ibnu Majah, Al-Baihaqi dan sanad yang sahih daripada Aisyah r.a. katanya:

Aku berkata : “Wahai Rasullah, apakah wanita wajib berjihad?”. Sabda Baginda: “Ya, jihad yang tiada peperangan padanya iaitu haji dan umrah”.

Niat Ihram, Tawaf dan Sa’i tidak boleh dilakukan di mana-mana tempat lain melainkan di tempat yang ditetapkan. Iaitu niat ihram di Miqat, tawaf 7 pusingan mengelilingi Kaabah di dalam Masjidil Haram dan bersa’i 7 kali bermula di bukit Safa dan berakhir di bukit Marwah. Terakhir sekali bertahallul iaitu bercukur atau mengunting rambut sekurang-kurangnya 3 helai. Selepas itu, segala larangan dalam Ihram menjadi halal sepertimana sebelum beliau berihram.

Beza Umrah dengan Haji ialah Umrah boleh dilaksanakan sepanjang tahun tetapi Haji hanya boleh dilakukan pada bulan haji sahaja, dan hari kemuncaknya ialah pada hari Tasyrik 9, 10, 11, 12 di mana jemaah berkumpul di Padang Arafah dan Mina.

Serba ringkas mengenai Umrah:-

MAKNA UMRAH
Dari Segi Bahasa:
Umrah bermaksud ziarah.

Dari Segi Syarak:
Menziarahi Kaabah dan tawaf di sekelinglingnya, mengerjakan sa’i di antara Safa dan Marwah serta bercukur.

WAJIB UMRAH
1. Ihram di miqat.
2. Menjauhkan larangan-larangan ketika berihram.

RUKUN UMRAH
1. Memakai ihran berserta niat saperti berikut:
“Sengaja aku mengerjakan umrah dan berihram aku dengannya kerana Allah Taala.”
2. Tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.
3. Sa’i di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali.
4. Bercukur.
5. Tertib.

SUNAT UMRAH
Segala perkara-perkara sunat bagi ibadat haji merupakan perkara-perkara sunat ibadat umrah.

MIQAT ZAMANI UMRAH
Miqat zamani umrah ialah sepanjang tahun kecuali pada hari-hari Tasyrik dan ketika mengerjakan ibadat haji di Arafah sehingga selesai mengerjakan segala rukun dan wajib haji.

MIQAT MAKANI UMRAH
Miqat makani umrah sama saperti miqat haji kecuali bagi orang berkeinginan mengerjakan umrah dari Makkah maka miqat mereka ialah di Tanah Halal.

Islamic-facebook-cover-2014-Khana-Kaba

Advertisements