Soal Jawab Agama Haji & Umrah I Jom Umrah Bersama Massnizam Group

 1. Menunaikan Haji Dalam Keadaan Berhutang

SOALAN :

Apakah hukum orang yang menunaikan haji sedangkan dia mempunyai hutang rumah dengan kerajaan, hutang kereta dengan bank dan juga hutang beli tanah?  Ada pendapat yang menyatakan zaman sekarang, hutang-hutang seperti membeli rumah dan kereta adalah keperluan mendesak.  Oleh itu, ia tidak termasuk dalam syarat yang mengekang daripada mengerjakan haji.  Benarkah, ustaz?

JAWAPAN :

Seseorang yang mempunyai hutang membeli rumah ataupun kenderaan masih wajib pergi menunaikan haji apabila cukup belanjanya.  Pandangan yang mengatakan kita mesti habis bayar hutang dahulu kemudian baru wajib menunaikan haji adalah salah.  Malah, tidak ada seorang sarjana Islam pun sependapat dengan penyataan itu.

                                     2. Mencium Hajarul Aswad Selepas Tawaf

SOALAN :

Saya menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.  Selepas membuat tawaf sebanyak tujuh kali, saya terus pergi mencium Hajarul Aswad (batu hitam) kerana pada masa itu tidak ramai orang.  Kemudian saya pergi bersai’e.  Apabila selesai bertahallul, saya pulang ke hotel.  

Kawan saya menyatakan, saya tidak boleh mencium Hajarul Aswad kerana masih dalam ihram dan tidak boleh berwangi-wangian.  Oleh sebab itu, saya perlu membayar dam.  Bagaimanakah cara saya membayar dam?

JAWAPAN :

Apa yang saudara lakukan itu adalah betul dan tidak wajib membayar dam kerana saudara tidak melakukan kesalahan sebagaimana yang disangka oleh kawan saudara itu.  

Sememangnya sunat mencium Hajarul Aswad selepas melakukan ibadah tawaf bagi mereka yang mampu.  Bagi yang tidak mampu melakukannya disebabkan ramai orang, maka sunat melambai tangan ke arah Hajarul Aswad itu sebagai ganti menciumnya.

                                                    3. Upah Haji Untuk Ibu

SOALAN :

Bagaimana melakukan upah haji?  Apakah kewajipan lain untuk saya sebagai anak lelaki lakukan selepas ibu saya meninggal dunia?

JAWAPAN :

Apabila seseorang itu mati, ada beberapa perkara yang perlu dibuat selain daripada kewajipan menguruskan jenazahnya. Antaranya adalah membayar hutang si mati kepada Allah seperti hutang puasa, haji, zakat, wasiat, nazar dan lain-lain dan membayar hutangnya kepada orang yang hidup.  

Jika si mati meninggalkan harta maka wajib pemegang hartanya membayar hutang Allah dahulu kemudian hutang sesama manusia.  Jika si mati tidak meninggalkan harta maka sunat atas warisnya tolong menjelaskan kedua hutang tersebut.  Jika si mati meninggalkan harta dan belum sempat menunaikan haji maka wajib digunakan harta itu bagi mengupah kerja hajinya iaitu waris menggunakan wang itu bagi mengupah seorang yang lain untuk pergi mengerjakan haji bagi pihak si mati.  Jika si mati tidak ada harta yang ditinggalkan maka sunat atas para warisnya tolong mengerjakan haji untuknya dengan sukarela.

Advertisements